Tuesday, October 17, 2006

kerja-kerja

assalamualaikum...

sudah sekian lama saya tak menulis dalam ruangan blog ni, sekarang dah akhir Ramadhan, Syawal dah makin hampir mempamirkan wajah. Tahun ni pertama kali saya beraya dengan anak, yelah baru ada anak pertama. Baju raya anak dengan suami tak sempat lagi nak pergi cari, sibuk dengan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar. Tak di tambah lagi dengan tugas-tugas tambahan, sekarang masih sibuk menyiapkan modul untuk silibus baru subjek Information Technology. Pening kepala memikirkan tugas yang belum selesai, dah naik muak mengadap PC ni, matapun semakin penat dan letih. Tapi itulah yang dikatakan tanggungjawab, seberat manapun kerja, sepayah manapun tugas, dan sesusah manapun bebanan, semua itu terpaksa kita lalui demi melaksanakan tanggungjawab yang diberikan pada kita.

Bila difikir balik, kenapalh kita ni selalu sahaja merungut pasal kerja, bukankah itu rezeki yang kita akan perolehi. Bila renung rakan-rakan senasib yang masih lagi terkial-kial mencari kerja, barulah hati ini terdetik, bertuahnya kita dikurniakan Allah rezeki daripada pekerjaan yang kita perolehi. Bukankah beruntungnya kita mendapat rezeki tanpa meminta dan meraih simpati dari sesiapa. Kita dah mampu memiliki apa yang kita inginkan daripada rezeki yang kita perolehi. Apa yang perlu kita buat hanyalah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai pekerja dengan ikhlas dan jujur, barulah kita bekerja dengan hati yang senang dan tenang. Kekadang kita ni selalu je tak puas hati dengan apa yang kita miliki, ada sahajalah yang tak kena, padahal kita dah tersangat beruntung. Apa yang penting masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing.

Beruntungnya kita bekerja dalam keadaan berhawa dingin dan hanya duduk di kerusi, hanya sesekali bangun bila dipanggil atau ada tugas-tugas lain. Mereka di luar sana terpaksa bekerja di bawah terik matahari, memikul bebanan yang lebih berat dari timbangan sendiri, berpeluh dan berjalan kaki. Beberapa minggu lepas saya ke bandar Kuala Terengganu, melihat seorang pakcik tua yang mengayuh beca dalam keadaan panas terik dan berpuasa, mencari pejalan-pejalan kaki yang ingin menaiki beca tuanya. Setiap kayuhannya membuatkan hati kecil kita merintih, apatah lagi melihat dia bersungguh-sungguh mengayuh di saat lampu isyarat hijau, bimbang kalau-kalau lampu bertukar merah, yang bekereta pantas melintas satu persatu, namun pakcik tua terpaksa bangun sambil mengayuh, sedih bukan. Sesekali terfikir, diusia yang sebegitu sepatutnya dia dah boleh berehat dan beribadat tanpa berfikir untuk mencari rezeki, anak-anaklah yang bertanggungjawab memberi sumbangan kepada ibubapa masing-masing. Tapi siapa kita untuk menentukan segala, kita tak mampu mengetahui apa masalahnya.

Apa yang penting, sama-samalah kita bersyukur dengan Rezeki yang Allah curahkan pada kita tanpa mengeluarkan peluh dan tenaga yang besar.

wassalam

Monday, October 02, 2006

Mengawal Marah

Bila perasaan tertekan mengundang, bila masalah mula muncul dan bila diri sudah mula hilang kawalan, perasaan marah diluar batasan. Saya sendiri tidak boleh menahan malahan masih belum berjaya mengawal marah 100% apabila sesekali pergaduhan tercetus, tak kiralah antara kita dengan sahabat, antara kita dengan bos atau antara kita dengan pasangan juga dengan masyarakat. Dalam keadaan kita yang tertekan dan apabila anasir-anasir jahat menghasut mungkin kecelakaan berlaku, lebih parah, lebih kusut dan makin berserabut. Tetapi itu bukannya jalan penyelesaianya.

Beberapa hari sebelum ni, saya kemalangan dengan sebuah kereta, masing-masing menegakkan siapa yang benar, yelah kalau tanya pada saya, saya akan cakap bukan salah saya, dan sebaliknya andai anda bertanya pada dia, sudah tentulah dia cakap dia tak bersalah. Saya ingat masalah itu selesai macam tu je, sebab selepas dia tengok kereta saya, dia terus pergi. Masalah sekarang bukan siapa yang betul dan siapa yang salah, tetapi adab kesopanan dan tatasusila. saya berkata begitu kerana selepas beberapa hari kemalangan, dia datang kerumah dalam pukul 6.45 petang, saya tengah siapkan makanan untuk berbuka puasa. Dengan tiada perasaan malu meminta ganti rugi dari suami saya, suami saya sedaya upaya menegakkan kebenaran supaya kita selesai secara damai, yelah saya juga terpaksa repair kereta. Tetapi sebaliknya dia enggan mengalah sebaliknya mencapai kayu untuk memukul suami saya. Dalam keadaan berpuasa, lapar dan dahaga, tidak terlintas ke di fikiran dia yang dia perlu mengawal perasaan marah itu, umur diapun dah setengah abad, masing-masing dalam keadaan marah. Sepatutnya kejadian macam ni tak berlaku. nasib baik jiran menyelamatkan keadaan, tetapi tak sudah dengan itu dia mengugut suami saya yang dia akan serang balik.

Teruknya situasi yang berlaku sekarang ni, kita terpaksa mengalah walaupun kita tak bersalah untuk meleraikan kekusutan. Suami saya terpaksa membayar kerugian untuk kereta dia dan juga kereta yang saya guna. Kenapa begitu sukar mengawal marah, sedangkan kita diberi akal fikiran untuk berfikir, keimanan untuk bersabar dan mengawal marah. Betapa pentingnya nilai sabar dalam diri setiap insan. Tips yang paling penting untuk mengawal marah ialah bersabar, kesabaran itu akan menunjukkan kita jalan kebenaran. Kerana kesabaran itu mengasuh kita untuk lebih berhati-hati ketika bercakap, dan melakukan apa-apa perbuatan.

Jadi sama-samalah kita berfikir, cukupkah nilai kesabaran yang ada pada diri masing-masing, kerana kita tidak akan terlepas dari menghadapi dugaan dan cabaran yang semkin mencabar. Kalau tahap kesabaran kita tinggi Alhamdulillah kita akan berjaya mengawal segala kekusutan, masalah dan perasaan marah yang akan datang, InsyaAllah.

Wassalam